Judul Kitab : RISALAH AMALAN SELAWAT & HIMPUNAN WIRID DAN DOA KITAB LUM'ATUL AURAD


Risalah Amalan Selawat Intipati
Kitab Lum'atul Aurad

ISBN : 978-983-9701-78-4
Harga : RM 4.00


Lum'atul Aurad : Himpunan Wirid dan Doa 
ISBN : 978-983-9701-77-7

(Illustrasi gambar pada kedua-dua kulit buku adalah lokasi Kelab Balkis di Kelantan, sebuah badan kebajikan yang diusahakan oleh cicit pengarang kitab Lum'atul Aurad, iaitu Hajah Wan Khadijah Binti Haji Wan 'Abdur Rahman) 

Alhamdulillah, sebuah lagi kitab terbaharu telah dapat diterbitkan pada 26 Mei baru-baru ini, iaitu kitab Risalah Amalan Selawat Intipati Kitab LUM'ATUL AURAD, karya ulama Melayu yang berasal dari Kelantan, Syeikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani.

Adapun al-Marhum Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah pernah menerima ijazah amalan selawat Lum'atul Aurad ini dari beberapa sumber, antaranya adalah melalui ibu beliau sendiri, iaitu Hajah Wan Zainab Binti Syeikh Wan Ahmad al-Fathani. Selain itu, beliau juga menerima dari dua sumber utama berikut, iaitu:
  1. Diterima ijazah daripada Syeikh ‘Abdur Rahman bin ‘Abdul Kadir al-Fathani pada malam Khamis 25 Zulhijjah 1399H di Masjidil Haram, Mekah. Haji Wan ‘Abdul Rahman bin ‘Abdul Kadir al-Fathani pula terima daripada Baba Haji Wan ‘Abdul Kadir bin Syeikh Daud Khatib Kelantan.  
  2. Diterima ijazah terakhir daripada al-‘Alim al-‘Allamah Haji Wan Muhammad Shalih bin ‘Abdullah al-Fathani di Ma’la Mekah al-Mukarramah. Beliau terima ijazah dari al-‘Alim al-‘Allamah Haji ‘Abdul Rasyid bin Ismail al-Fathani yang diterima daripada al-‘Alim al-‘Allamah Syeikh Wan ‘Ali bin ‘Abdur Rahman al-Kalantani, pengarang kitab Lum’atul Aurad yang terkenal di nusantara ini.      
  • Lum'atul Aurad, 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah, cetakan kedua 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1346 Hijrah. Dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini.
  • Lum'atul Aurad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu, bagi pengamal-pengamalnya selalu menceritakan akan keberkesanan amalan tertentu yang termaktub dalam kitab itu setelah mereka mengamalkannya secara teratur dan rutin. 
  • Sebelum untuk mengamalkannya, adalah lebih afdhal dimulakan dengan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan disedekahkan al-Fatihah kepada pengarang kitab, iaitu al-‘Alim al-‘Allamah al-Fadhil Syeikh Wan ‘Ali ‘Abdur Rahman al-Kalantani, juga hendaklah diniatkan hanya semata-mata kerana Allah, tanpa tersirat dengan perkara-perkara lainnya melainkan Allah SWT.  
 
    *******************************************************